Sunday, December 27, 2009

Cara Komunikasi Anak Menantu Menasihati Mertua


Hubungan antara anak menantu dan mertua perlu dijaga kerana ada ketikanya kesilapan kecil atau perkara remeh boleh menyebabkan keretakan dan diungkit-ungkit sepanjang masa. Antara perkara paling sukar untuk dilakukan anak menantu adalah untuk menegur dan menasihati mertua mereka. Silap cara menegur, dikatakan tidak menghormati mertua pula. Kalau tidak ditegur, keadaan mungkin semakin menjadi-jadi pula. Jadi apakah cara terbaik yang boleh dilakukan oleh anak menantu untuk menasihati mertua mereka? Di sini dikongsikan beberapa petua untuk panduan kita bersama.

1. Berbicara dengan lemah lembut

Komunikasi bukan sekadar mesej yang mahu disampaikan tetapi ia turut merangkumi cara sesuatu itu disampaikan termasuklah nada suara, mimik muka serta gaya penyampaian kita. Malah kajian menunjukkan fisiologi kita menyumbang kepada 55% kesan dalam berkomunikasi, nada suara membawa 38% kesan dan mesej hanyalah 7% sahaja kesannya. Oleh itu, apabila kita perlu menasihati mertua maka nasihatlah dengan cara yang lemah lembut dan bersuara rendah. Suara yang lembut ini akan lebih berkesan kepada jiwa yang mendengar lebih-lebih lagi kita berhadapan dengan orang yang lebih tua daripada kita.

2. Gunakan nama-nama tokoh atau ulamak.

Semasa berbicara dan menasihati itu, gunakanlah nama-nama tokoh atau ulamak tertentu bagi memperkukuhkan hujah kita. Nama-nama tokoh ini biarlah dikalangan mereka yang kita tahu dihormati dan dikagumi oleh mertua kita. Oleh itu, sukarlah untuk mertua mematahkan hujah tersebut sebab ia bukan hujah kita sebaliknya kita hanya menyebut semula hujah yang telah disampaikan oleh tokoh-tokoh idola mereka. Jangan sesekali menunjukkan yang kita lebih tahu dari mereka sebaliknya hendaklah kita sentiasa merendah diri. Mulakan dengan kata-kata seperti “Kalau tak silap, saya pernah dengar Ustaz tu kata…. “. Cara ini menunjukkan yang kita tetap terbuka untuk diperbaiki kalau-kalau mertua rasa hujah yang kita kemukakan itu salah.

3. Mulakan dengan kemesraan dan memuji mereka.

Sebelum menasihati mertua, bukalah hatinya untuk menerima kita dahulu. Wujudkan kemesraan terlebih dahulu dengan membicarakan topik-topik yang mereka minati. Nyatakan kepada mereka betapa kita bersyukur mendapat mertua seperti mereka yang memahami kita dan menerima kita seadanya. Secara perlahan-lahan mulakanlah agenda kita menasihati mereka.

4. Gunakan orang ketiga yang dihormati mereka

Ada ketikanya kita tidak mampu menasihati mertua secara langsung. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh kita sendiri pernah bersalah kepada mereka hinggakan mertua tidak lagi menghormati kita; atau usia kita terlalu muda dan dirasakan terlalu mentah untuk menasihati mereka; atau sememangnya ego mertua kita terlalu tinggi hingga sukar dinasihati kita. Walau apa sekalipun alasannya, kita tahu bahawa mustahil untuk kita membuka mulut dan menasihati mereka. Silap haribulan hubungan antara kita dan mertua menjadi semakin tegang. Kalau beginilah keadaannya, maka bincanglah dengan seseorang yang sememangnya dihormati oleh mertua dan mintalah mereka menasihati mertua. Sebaiknya carilah mereka dikalangan ahli keluarga terdekat dahulu sebelum pergi kepada orang luar. Pastikan mertua tidak mengetahui bahawa kitalah orangnya yang merancang agar mereka dinasihati.

5. Berkias dan berceritalah.

Cuba jangan menasihati mertua secara langsung lebih-lebih lagi apa yang mahu dinasihati itu adalah isu sensitif yang mungkin menyentuh maruah dan peribadi mereka. Sebaliknya berkiaslah, orang tua biasanya mudah mengesan hasrat kita dan dengan cara berkias mereka dapat memahami maksud kita. Cara ini ada ketikanya lebih berkesan. Cubalah juga bercerita tentang kisah orang lain dan minta pandangan mertua, mudah-mudahan mertua dapat kaitkan dengan keadaan diri mereka pula.

Sebagai contoh:

“Abah, kawan saya Amir ada masalah dengan mertuanya. Mertuanya ini cepat sangat campur tangan dalam apa jua urusan rumah tangga nya. Jadi, apa patut saya nasihatkan kawan saya tu agar mertuanya sedar akan kesilapan mereka?”

Dengan cara begini, mertua kita akan berikan pandangan. Dalam masa yang sama mereka akan fikirkan juga keadaan mereka dengan kita.

6. Pilihlah masa dan tempat yang sesuai.

Kerapkali komunikasi gagal disebabkan pemilihan masa dan tempat yang tidak sesuai. Oleh itu elakkan dari kesilapan lazim sebegini. Pastikan kita memilih masa yang sesuai untuk menasihati mertua. Lihat mood mereka, kalau mereka dalam keadaan risau dan murung maka jangan tambah lagi beban mereka. Kalau mereka dalam bermasalah, bantu selesaikan masalah itu dahulu. Apabila mertua melihat kesungguhan kita membantu mereka menyelesaikan masalah yang ada maka mudahlah untuk mereka dengan nasihat kita kelak. Sebab mereka dapat rasakan keikhlasan kita menasihati mereka setelah kita buktikan keikhlasan kita membantu masalahnya itu.

7. Jagalah kewibawaan dan peribadi kita.

Mertua akan mudah mendengar cakap kita apabila mereka menyedari kehebatan anak menantunya. Oleh itu jagalah akhlak dan peribadi kita bukan sahaja di hadapan mereka malah ketika kita berada dalam lingkungan masyarakat luar. Apabila ramai orang memuji mertua tentang akhlak, budi pekerti, kehebatan diri anak menantunya maka akan lebih terbuka lagi fikiran mereka untuk menerima nasihat dari kita. Pendek kata, kalau mahu menasihati mertua usahakanlah untuk menjadi menantu kebanggaan mereka dahulu. Ambil tahu hal ehwal harian mereka, makan minum mereka, kesihatan mereka dan segalanya. Hulur-hulukanlah duit belanja untuk mereka. Jangan datang rumah mertua dengan tangan kosong. Bawalah apa sahaja buah tangan untuk mereka. Mertua pasti menerima kita dan mengalu-alukan nasihat dari kita.

Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D
http://www.laman-map.com/e-Majalah/artikel/umum/mertua.htm

3 comments:

Anonymous said...

“Abah, kawan saya Amir ada masalah dengan mertuanya. Mertuanya ini cepat sangat campur tangan dalam apa jua urusan rumah tangga nya. Jadi, apa patut saya nasihatkan kawan saya tu agar mertuanya sedar akan kesilapan mereka?”

MERTUA: Nantu aku sindir aku nih..cisss

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.