Tuesday, July 31, 2007

artikel tentang munakahat

di blog ini ada beberapa artikel tentang munakahat, serta lain-lain isu berkaitan hukum syara'.

http://scene-r.blogspot.com/search/label/munakahat

Nikah Kontrak


Nikah menurut syarak adalah sesuatu akad perjanjian yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan melakukan persetubuhan.(ruj Kitab Umdah As-Salik Wa Uddatu An-Nasik oleh Ibn Naqib bab nikah)

Kontrak adalah perjanjian formal dengan syarat-syarat tertentu antara dua pihak atau lebih.(Kamus Dewan)

Di antara syarat sah pernikahan ialah

Bentuk ijab dan qabul pernikahan hendaklah dibuat secara muabbadah (selamanya) dan bukanlah dalam bentuk muaqqatah (bertempoh).Sekiranya pernikahan itu (dibuat dengan syarat) bertempoh maka batallah pernikahan tersebut.(ruj Kitab Feqh Islami Wa Adillatuhu Dr Wahbah Az Zuhaili jilid.9 ms 6551)

Para ulama telah bersepakat bahawa sesuatu pernikahan yang dibuat dengan syarat bertempoh itu adalah tidak sah.Tidak kira sama ada pernikahan yang dibuat dengan syarat tempoh yang diketahui seperti lafaz"aku bernikah dengan engkau dalam tempoh setahun"atau syarat tempoh yang tidak diketahui seperti lafaz "aku bernikah dengan engkau sehingga aku selesai belajar atau selesai bekerja",begitu juga sama ada syarat pernikaan itu dibuat dengan syarat tempoh yang sekejap atau lama.(ruj Kitab Al- Usrah Al-Muslimah Fi Al-Alam Al-Muasir Dr Wahbah Az Zuhaili ms 65)


Nikah kontrak termasuk di dalam pernikahan muaqqat (bertempoh):iaitu sesorang lelaki bernikah dengan wanita dalam tempoh sepuluh hari atau sebulan atau setahun.Perkahwinan ini adalah batil kerana ianya termasuk apa yang dikatakan nikah Mut'ah


Nikah mut'ah pula adalah sesuatu persetujuan atau persepakatan antara lelaki dan perempuan untuk tamatta'(berseronok) salah satu daripada kedua-duanya dengan tempoh yang tertentu kemudian ditinggalkan tanpa talaq.Pernikahan mut'ah adalah batil menurut persepakatan jumhur sahabat ,tabien,dan a'immah mazahib selain dari imamiah.(ruj Kitab Al- Usrah Al-Muslimah Fi Al-Alam Al-Muasir Dr Wahbah Az Zuhaili ms 65)


عن علي بن أبي طالب رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم نهى عن نكاح المتعة يوم خيبروعن لحوم الحمر الأهلية الأنسية

Maksudnya: Dari Saidina Ali bin Abi Thalib r.a bahwa Rasulullah SAW telah melarang nikah mut'ah dengan wanita pada perang Khaibar dan makan himar ahliyah. (HR Imam Al Bukhari ruj.kitab Umdatul Ahkam).

Rasulullah s.a.w bersabda :

يا أيها الناس،إني كنت أذنت لكم في الاستمتاع بالنساء،وإن الله قد حرم ذلك إلى يوم القيامة

Maksudnya : "Wahai manusia, dahulu aku mengizinkan kamuistimta dengan wanita( nikah mut'ah). Ketahuilah bahwa Allah SWT telah mengharamkannya sampai hari kiamat." (HR Muslim, Ahmad dan Ibnu Majah).

Perbezaan nikah mut'ah dan muaqqat adalah pada lafaz tamatta' bagi nikah mut'ah dan lafaz zawaj (nikah) bagi nikah muaqqat.


Contoh lafaz bagi nikah mut'ah.

تمتعت بكِ يوما بدينار،فقالت قبلت المتعة

Aku bertamatta' (berseronok) dengan kamu untuk satu hari dengan satu dinar maka perempuan itu menjawab :Aku terima mut'ah tersebut.

Contoh lafaz bagi nikah muaqqat atau kontrak.

تزوجتك مدة كذا،كعشرة أيام مثلا على مهر قدره كذا فتقول:قبلت

Aku bernikah (berkahwin) dengan kamu dengan tempoh sekian,seperti sepuluh hari sebagai contoh (dan) dengan kadar mahar sekian.,kemudian perempuan itu menjawab Aku terima.

(ruj.kitab Al Mufassal Fi Al-Ahkam Al-Mar'ah Wa Bait Al-Muslim Dr. Karim Zaidan jilid 6 ms 162)

Bagaimana sekiranya pernikahan itu disyaratkan tempoh umur salah satu daripada suami atau isteri?

Sebagai contoh:Aku bernikah dengan kamu dengan tempoh umur kamu atau, aku bernikah dengan kamu dengan tempoh umurku.Kemudian, perempuan tersebut menjawab :Aku terima

Adakah pernikahan ini batal kerana diiringi dengan tempoh?

Al Imam Khatib As-Syirbini rahimahullah di dalam kitabnya Mughni Al-Muhtaj dan Al-Imam Al-Ramli rahimahullah dalam kitabnya Nihayah Al-Muhtaj.Kedua-dua kitab syarah Minhaj At-Thalibin karangan Imam Nawawi rahimahullah ini menyebutkan bahawa, batal pernikahan sekiranya nikah dengan (syarat) tempoh umur suami atau umur isterinya.

Di dalam mazhab As-syafieah telah mengatakan dengan jelas dalam bab jual beli.Sekiranya seseorang itu mengatakan:Aku menjual barang ini kepada kamu dengan tempoh hayat kamu.Jual beli seperti ini tidak sah.Maka (dalam) pernikahan lebih utama.(kalaulah jual beli dengan tempoh hayat sesorang sahaja batal apatah lagi nikah)

(rujuk Kitab Mughni Al-Muhtaj jilid 4 ms 239 dan Kitab Nihayah Al-Muhtaj jilid 6 ms 215)

Bagaimana sekiranya seseorang lelaki yang bernikah dengan niat akan talak perempuan tersebut tanpa menentukan waktu akan talak perempuan tersebut?

Mungkin beberapa kemungkinan yang boleh kita buat dari persoalan di atas.

-Sekiranya seseorang lelaki berniat akan talak isterinya setelah berkahwin,kemudian disampaikan niatnya kepada bakal isteri tersebut, atau pada walinya lalu dipersetujui. Maka jelaslah disini,perkahwinan tersebut adalah perkahwinan muaqqat (bertempoh) yang tidak diketahui.Ini bermakna perkahwinan tersebut adalah batal.

-Manakala sekiranya lelaki tersebut berniat akan talak isterinya setelah berkahwin tetapi hanya memendamkan niatnya tanpa makluman bakal isteri atau walinya, mungkin perkahwinan yang ingin dilaksanakan itu kerana dendam atau sesuatu kepentingan peribadi maka nikahnya adalah sah tetapi berdosa.

Mazhab Maliki Hanbali dan Syafie mengatakan :sekiranya seseorang lelaki menikahi perempuan tanpa syarat tetapi di dalam hatinya sudah berniat untuk mentalak perempuan tersebut setelah tempoh sebulan (perkahwinan),atau setelah sempurna keinginannya di negara tersebut maka nikah tersebut adalah sah.(ruj Kitab Al- Usrah Al-Muslimah Fi Al-Alam Al-Muasir Dr Wahbah Az Zuhaili ms 65/ Kitab Al Mughni)

Bagaimana nasab anak hasil daripada hubungan perkahwinan kontrak?

Penentuan nikah kontrak sama ada batil atau fasid memberi kesan pada nasab anak.Apa yang saya dapati, kebanyakan ulama mengakatan nikah Muaqqat adalah batil.Justeru itu, untuk kepastian, bagi menjawab persoalan ini, saya telah menghantarkan khidmat pesanan ringkas (sms) kepada Al-Fadhil Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki hafizahullah melalui telefon bimbit rakan saya,

Beliau menjawab :Di nasabkan kepada ibunya sebab nikah itu batil, tidak sah,hubungan mereka itu zina.

[scene-r] Kalau begitu apakah contoh nikah fasid sebab saya tidak dapat bezakan nikah fasid dan batil

[Syaikh] Nikah muhallil,nikah kontrak,nikah syagar ni contoh nikah fasid

[scene-r] Mungkin soalan ana yang terakhir.ana musykil.bukankah sabit nasab itu pada nikah soheh,nikah fasid dan watie syubhah.

Nikah kontrak termasuk dalam nikah fasid.Mengapa tidak sabit nasab pada nikah kontrak malah pada ibu sedangkan rosaknya nikah kontrak pada syarat sah nikah bukan pada rukun.Mohon bimbingan dari syaikh.Jazakumullah Khairan

[Syaikh] Fasid fi haqiqatil amri sementara pasangan tidak tahu- seperti dinikahkan oleh wali atau saksi yang fasik sedangkan mereka tidak tahu.

Kalau mereka tahu maka mereka tidak boleh berkumpul -kalau kontrak, mereka tahu dan semua tahu hukumnya batil. (messeges send 25/6/1428)

(sumber: http://scene-r.blogspot.com/search/label/munakahat)

Wednesday, July 25, 2007

kenali wanita

HADIS-HADIS NABI : MENGENALI WANITA
(Petikan dari Majalah Perkahwinan)

Ramai yang tidak tahu bahwa ada beberapa pekara yang telah terkait dalam hadis yang mengisahkan perbedaan darajat kaum wanita dan lelaki. Perbedaan-perbedaan ini yang menaikan darajat kaum wanita. Ciri-ciri tersebut diuraikan di bawah ini :-

1. Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah akan hal tersebut, jawab baginda, "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia".

2. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dlm rahimnya,maka beristighfarlah
para malaikat untuknya. Allah mencatatkan baginya setiap hari dgn 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

3. Apabila seseorang perempuan mula sakit hendak bersalin,maka Allah mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah.

4. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak,keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkanya.

5. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

6. Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah memberinya pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah.

7. Barangsiapa yang mengembirakan akan perempuannya, darajatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah dan orang yang takutkan Allah akan diharamkan api neraka ke
atas tubuhnya.

8. Barangsiapa membawa hadiah, (barang makan dari pasar ke rumah)lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

9. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama,maka Allah memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun)

10. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan,memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.

11.Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 lelaki yang soleh.


12.Aisyah berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita?? Jawab Rasulullah,"Suaminya." "Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah, "Ibunya".

13.Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.

14.Wanita yang taat akan suaminya, ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga sembahyang dan puasanya.

15. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana? mana pintu yang di kehendaki dengan tidak dihisab.

16. Syurga itu dibawah tapak kaki ibu.

17. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Nabi s.a.w) di dalam syurga.

18. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya syurga.

19. Daripada Aisyah r.a. Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya, lalu berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.

Jadi, janganlah sesekali kita merasa lemah. wanita sebenarnya yang membuat seseorang lelaki itu kuat. Itulah salah satu sebab mengapa Nabi meletakan wanita setaraf pada lelaki dan tidak lebih rendah

(sumber: http://redeagle21.blogspot.com/2007/07/kenali-wanita.html)

Monday, July 23, 2007

artikel 'kemasyarakatan & kekeluargaan' di zaharudin.net

pelbagai artikel menarik berkaitan kekeluargaan yang dikupas dari sudut Islam di:

http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=category&sectionid=14&id=51&Itemid=89

selamat membaca!

Siapa Lelaki Dayus ?

Oleh: Zaharuddin Abd Rahman

Jika sebelum ini saya menulis dua artikel berkenaan aurat dan wanita. Saya juga telah mendedahkan satu email yang mengandungi artikel berkenaan bahaya nafsu lelaki dan sebagai pengetahuan am buat para wanita. Walaubagaimanapun, tidak memadai info-info tersebut tanpa menyentuh satu lagi bab yang amat berkaitan dengannya.

Bab berkenaan suami dan tanggungjawab mereka terhadap isteri mereka dan anak-anak perempuan mereka.

Sebenarnya, bab ini agak panjang kerana terlalu banyak tanggung jawab suami dan ayah terhadap ahli keluarganya. Cuma bagi memudahkan kefahaman, tulisan ringkas ini akan fokus kepada satu isu terlebih dahulu. Iaitu siapa itu lelaki dayus yang dimaksudkan oleh Nabi SAW tidak akan masuk syurga.

Nabi SAW bersabda :-

ثلاثة لا ينظر الله عز وجل إليهم يوم القيامة: العاق لوالديه، والمترجلة، والديوث. رواه أحمد والنسائي

Ertinya : Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada bantuan dari dikenakan azab) mereka di hari kiamat : Si penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki DAYUS" ( Riwayat Ahmad & An-Nasaie: Albani mengesahkannya Sohih : Ghayatul Maram, no 278 )

Dalam sebuah hadith lain pula :

ثلاثةٌ قد حَرّمَ اللهُ - تَبَارَكَ وَتَعَالَى - عليهم الجنةَ : مُدْمِنُ الخمر ، والعاقّ ، والدّيّوثُ الذي يُقِرُّ في أَهْلِهِ الخُبْثَ . رواه أحمد والنسائي .

Ertinya : Tiga yang telah Allah haramkan baginya Syurga : orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan Si Dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya" ( Riwayat Ahmad )

Malah banyak lagi hadith-hadith yang membawa makna yang hampir dengan dua hadith ini. Secara ringkasnya, apakah dan siapakah lelaki dayus?

ERTI DAYUS

suami tiada kuasa?Dayus telah disebutkan dalam beberapa riwayat athar dan hadith yang lain iaitu :-

1) Sabda Nabi : -

وعن عمار بن ياسر عن رسول الله قال ثلاثة لا يدخلون الجنة أبدا الديوث والرجلة من النساء والمدمن الخمر قالوا يا رسول الله أما المدمن الخمر فقد عرفناه فما الديوث قال الذي لا يبالي من دخل على أهله

Ertinya : Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah SAW berkata : " Tiga yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaiatu Si DAYUS, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak" lalu sahabat berkata : Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu DAYUS? , berkata nabi : "IAITU ORANG YANG TIDAK MEMPERDULIKAN SIAPA YANG MASUK BERTEMU DENGAN AHLINYA (ISTERI DAN ANAK-ANAKNYA) - ( Riwayat At-Tabrani ; Majma az-Zawaid, 4/327 dan rawinya adalah thiqat)

Dari hadith di atas, kita dapat memahami bahawa maksud lelaki DAYUS adalah si suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dan ambil endah dengan siapa isteri dan anaknya bersama, bertemu, malah sebahagiannya membiarkan sahaja isterinya dan anak perempuannya dipegang dan dipeluk oleh sebarangan lelaki lain.

2) Pernah juga diriwayatkan dalam hadith lain, soalan yang sama dari sahabat tentang siapakah dayus, lalu jawab Nabi:-

قالوا يا رسول الله وما الديوث قال من يقر السوء في أهله

Ertinya : Apakah dayus itu wahai Rasulullah ?. Jawab Nabi : Iaitu seseorang ( lelaki) yang membiarkan kejahatan ( zina, buka aurat, bergaul bebas ) dilakukan oleh ahlinya ( isteri dan keluarganya)

Penerangan Ulama Tentang Lelaki Dayus

Jika kita melihat tafsiran oleh para ulama berkenaan istilah Dayus, ia adalah seperti berikut :-

هو الذي لا يغار على أهله

Ertinya : "seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya (isteri dan anak-anaknya) (An-Nihayah,2/147 ; Lisan al-Arab, 2/150)

Imam Al-‘Aini pula berkata : "Cemburu lawannya dayus" ( Umdatul Qari, 18/228 )

Berkata pula An-Nuhas :

قال النحاس هو أن يحمي الرجل زوجته وغيرها من قرابته ويمنع أن يدخل عليهن أو يراهن غير ذي محرم

Ertinya : cemburu ( iaitu lawan kepada dayus ) adalah seorang lelaki itu melindungi isterinya dan kaum kerabatnya dari ditemui dan dilihat (auratnya) oleh lelaki bukan mahram " (Tuhfatul Ahwazi, 9/357)

Disebut dalam kitab Faidhul Qadir :

فكأن الديوث ذلل حتى رأى المنكر بأهله فلا يغيره

Ertinya : Seolah-olah takrif dayus itu membawa erti kehinaan (kepada si lelaki) sehingga apabila ia melihat kemungkaran (dilakukan) oleh isteri dan ahli keluarganya ia tidak mengubahnya" ( Faidhul Qadir, 3/327 )

Imam Az-Zahabi pula berkata :-

فمن كان يظن بأهله الفاحشة ويتغافل لمحبته فيها فهو دون من يعرس عليها ولا خير فيمن لا غيرة فيه

Ertinya : Dayus adalah sesiapa yang menyangka ( atau mendapat tanda) bahawa isterinya melakukan perkara keji ( seperti zina) maka ia mengabaikannya kerana CINTAnya kepada isterinya , maka tiada kebaikan untuknya dan tanda tiada kecemburuan ( yang diperlukan oleh Islam) dalam dirinya" ( Al-Kabair, 1/62 )

Imam Ibn Qayyim pula berkata :-

قال ابن القيم وذكر الديوث في هذا وما قبله يدل على أن أصل الدين الغيرة من لا غيرة له لا دين له فالغيرة تحمي القلب فتحمى له الجوارح فترفع السوء والفواحش وعدمها يميت القلب فتموت الجوارح فلا يبقى عندها دفع البتة

Ertinya : Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat (protective) atau kecemburuan ( terhadap ahli keluarga) , dan barangsiapa yang tiada perasaan ini maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya, kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga terjauh dari kejahatan dan perkara keji, tanpanya hati akan mati maka matilah juga sensitiviti anggota ( terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali.

Dayus adalah dosa besar

Ulama Islam juga bersetuju untuk mengkategorikan dayus ini dalam bab dosa besar, sehingga disebutkan dalam satu athar :

لَعَنَ اللَّهُ الدَّيُّوثَ ( وَاللَّعْنُ مِنْ عَلَامَاتِ الْكَبِيرَةِ فَلِهَذَا وَجَبَ الْفِرَاقُ وَحَرُمَتْ الْعِشْرَةُ)

Ertinya : Allah telah melaknat lelaki dayus ( laknat bermakna ia adalah dosa besar dan kerana itu wajiblah dipisahkan suami itu dari isterinya dan diharamkan bergaul dengannya) (Matalib uli nuha, 5/320 )

Walaupun ia bukanlah satu fatwa yang terpakai secara meluas, tetapi ia cukup untuk menunjukkan betapa tegasnya sebahagian ulama dalam hal kedayusan lelaki ini.

Petikan ini pula menunjukkan lebih dahsyatnya takrifan para ulama tentang erti dayus dan istilah yang hampir dengannya :

والقواد عند العامة السمسار في الزنى

Ertinya : Al-Qawwad ( salah satu istilah yang disama ertikan dengan dayus) di sisi umum ulama adalah broker kepada zina" (Manar as-sabil, 2/340 , rawdhatul tolibin, 8/186 )

Imam Az-Zahabi menerangkan lagi berkenaan perihal dayus dengan katanya :-

الديوث وهو الذي يعلم بالفاحشة في أهله ويسكت ولا يغار وورد أيضا أن من وضع يده على امرأة لا تحل له بشهوة

Ertinya : Dayus, iaitu lelaki yang mengetahui perkara keji dilakukan oleh ahlinya dan ia sekadar senyap dan tiada rasa cemburu ( atau ingin bertindak), dan termasuk juga ertinya adalah sesiapa yang meletakkan tangannya kepada seorang wanita yang tidak halal baginya dengan syahwat" (Al-kabair, 1/45 )

Cemburu Dituntut Islam & Jangan Marah

Ada isteri yang menyalahkan suami kerana terlalu cemburu, benar cemburu buta memang menyusahkan, memang dalam hal suami yang bertanya isteri itu dan ini menyiasat, saya nasihatkan agar isteri janganlah memarahi suami anda yang melakukan tindakan demikian dan jangan juga merasakan kecil hati sambil membuat kesimpulan bahawa suami tidak percaya kepada diri anda. Kerap berlaku, suami akan segera disalah erti sebagai ‘tidak mempunyai kepercayaan' kepada isteri.

Sebenarnya, kita perlu memahami bahawa ia adalah satu tuntutan dalam Islam dan menunjukkan anda sedang memiliki suami yang bertanggungjawab dan sedang subur imannya.

Selain itu, bergembiralah sang suami yang memperolehi isteri solehah kerana suami tidak lagi sukar untuk mengelakkan dirinya dari terjerumus dalam lembah kedayusan. Ini kerana tanpa sebarang campur tangan dan nasihat dari sang suami, isteri sudah pandai menjaga aurat, maruah dan dirinya.

Nabi SAW bersabda :

من سعادة ابن آدم المرأة الصالحة

Ertinya : "Dari tanda kebahagian anak Adam adalah memperolehi wanita solehah ( isteri dan anak)" ( Riwayat Ahmad, no 1445, 1/168 )

Memang amat beruntung, malangnya tidak mudah memperolehi isteri solehah di zaman kehancuran ini, sebagaimana sukarnya mencari suami yang tidak dayus. Sejak dulu, agak banyak juga email dari pelbagai golongan muda kepada saya menyebut tentang keterlanjuran mereka secara 'ringan' dan 'berat', mereka ingin mengetahui cara bertawbat.

'Ringan-ringan' Sebelum Kahwin

Jika seorang bapa mengetahui 'ringan-ringan' anak dan membiarkannya, ia dayus. Ingin saya tegaskan, seorang wanita dan lelaki yang telah 'ringan-ringan' atau 'terlanjur' sebelum kahwin di ketika bercinta, tanpa tawbat yang sangat serius, rumah tangga mereka pasti goyah. Kemungkinan besar apabila telah berumah tangga, si suami atau isteri ini akan terjebak juga dengan 'ringan-ringan' dengan orang lain pula.

Hanya dengan tawbat nasuha dapat menghalangkan aktiviti mungkar itu dari melepasi alam rumah tangga mereka. Seterusnya, ia akan merebak pula kepada anak-anak mereka, ini kerana benih 'ringan-ringan' dan 'terlanjur' ini akan terus merebak kepada zuriat mereka. Awas..!!

Dalam hal ini, semua suami dan ayah perlu bertindak bagi mengelakkan diri mereka jatuh dalam dayus. Jagalah zuriat anda.

Suami juga patut sekali sekala menyemak hand phone isteri, beg isteri dan lain-lain untuk memastikan tiada yang diragui. Mungkin ada isteri yang curang ini dapat menyembunyikan dosanya, tetapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan tertangkap jua. Saya tahu, pasti akan ada wanita yang kata.

"habis, kami ini tak yah check suami kami ke ustaz?"

Jawabnya, perlu juga, cuma topic saya sekarang ni sedang mencerita tanggung jawab suami. Maka perlulah saya fokus kepada tugas suami dulu ye.

Cemburu seorang suami dan ayah adalah wajib bagi mereka demi menjaga maruah dan kehormatan isteri dan anak-anaknya.

Diriwayatkan bagaimana satu peristiwa di zaman Nabi

قَالَ سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ : لَوْ رَأَيْتُ رَجُلاً مَعَ امْرَأَتِي لَضَرَبْتُهُ بِالسّيْفِ غَيْرُ مُصْفِحٍ عَنْهُ ، فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللّهِ صلى الله عليه على آله وسلم فَقَالَ : أَتَعْجَبُونَ مِنْ غَيْرَةِ سَعْدٍ ؟ فَوَ الله لأَنَا أَغْيَرُ مِنْهُ ، وَالله أَغْيَرُ مِنّي ، مِنْ أَجْلِ غَيْرَةِ الله حَرّمَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَن.

Ertinya : Berkata Ubadah bin Somit r.a : "Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk bersama isteriku, nescaya akan ku pukulnya dengan pedangku", maka disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa'ad tadi, lalu nabi memberi respond : "Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu (untuk agama) yang dipunyai oleh Sa'ad ? , Demi Allah, aku lebih kuat cemburu (ambil endah dan benci demi agama) berbandingnya, malah Allah lebih cemburu dariku, kerana kecemburuan Allah itulah maka diharamkan setiap perkara keji yang ternyata dan tersembunyi.. " ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim )

Lihat betapa Allah dan RasulNya inginkan para suami dan ayah mempunyai sifat protective kepada ahli keluarga dari melakukan sebarang perkara keji dan mungkar, khasnya zina.

BILA LELAKI MENJADI DAYUS?

Secara mudahnya cuba kita lihat betapa ramainya lelaki akan menjadi DAYUS apabila :-

1) Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah.

2) Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak diketahui bersama dengan lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di pejabat dan siapa yang menghantar.

3) Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuannya dewasanya terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan sepanjang yang menyebabkan aurat terlihat.

4) Membiarkan anak perempuannya ber'dating' dengan tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya.

5) Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa 'spoting' yang memahami.

6) Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di luar rumah.

7) Membiarkan anak perempuannya memasuki akademi fantasia, mentor, gang starz dan lain-lain yang sepertinya sehingga mempamerkan kecantikan kepada jutaan manusia bukan mahram.

8) Membiarkan isterinya atau anaknya menjadi pelakon dan berpelukan dengan lelaki lain, kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon nafsu seorang lelaki di hilangkan?. Tidak sekali-sekali.

9) Membiarkan isteri kerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.

10) Membiarkan isteri disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang diiktoraf oleh Islam seperti menyelematkannya dari lemas dan yang sepertinya.

11) Membiarkan isterinya bersalin dengan dibidani oleh doktor lelaki tanpa terdesak dan keperluan yang tiada pilihan.

12) Membawa isteri dan anak perempuan untuk dirawati oleh doktor lelaki sedangkan wujudnya klinik dan hospital yang mempunyai doktor wanita.

13) Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu.

14) Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu kereta lelaki tanpa sebarang pemerhatian.

Terlalu banyak lagi jika ingin saya coretkan di sini. Kedayusan ini hanya akan sabit kepada lelaki jika semua maksiat yang dilakukan oleh isteri atau anaknya secara terbuka dan diketahui olehnya, adapun jika berlaku secara sulit, suami tidaklah bertanggungjawab dan tidak sabit 'dayus' kepad dirinya.

Mungkin kita akan berkata dalam hati :-

" Jika demikian, ramainya lelaki dayus di kelilingku"

Lebih penting adalah kita melihat, adakah kita sendiri tergolong dalam salah satu yang disebut tadi.

Awas wahai lelaki beriman..jangan kita termasuk dalam golongan yang berdosa besar ini.

Wahai para isteri dan anak-anak perempuan, jika anda sayangkan suami dan bapa anda, janganlah anda memasukkan mereka dalam kategori DAYUS yang tiada ruang untuk ke syurga Allah SWT.

Sayangilah dirimu dan keluargamu. Jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.

Akhirnya, wahai para suami dan ayah, pertahankan agama isteri dan keluargamu walau terpaksa bermatian kerananya. Nabi SAW bersabda :

من قتل دون أهله فهو شهيد

Ertinya : "Barangsiapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid" ( Riwayat Ahmad , Sohih menurut Syeikh Syuaib Arnout)

(Sumber: http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=546&Itemid=72, 17 Julai 2007)

p/s daripada penulis: Diizinkan pembaca menyebarkan tulisan ini sejauh mana yang mungkin demi manfaat para lelaki yang berhasrat menjadi penghuni Syurga.

Thursday, July 19, 2007

beberapa artikel berkaitan di blog "http://ulamaummah.blogspot.com/"

link artikel-artikel berkaitan perkahwinan di blog "http://ulamaummah.blogspot.com/", dalam topik "keluarga idaman"

http://ulamaummah.blogspot.com/search/label/Keluarga%20Idaman

selamat membaca!

Saturday, July 14, 2007

konsep perceraian

konsep perceraian

maksud dari sudut bahasa: tindakan melepaskan atau menguraikan ikatan.
maksud dari sudut istilah syara': tindakan melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz, seperti perkataan "cerai" atau "talak", oleh seorang suami kepada seorang isterinya


jenis-jenis lafaz perceraian

1. dalam bentuk jelas (soreh): lafaz yang menggunakan ucapan yang jelas dan tegas dengan maksud menunjukkan makna perceraian. contoh:

"aku talakkan engkau"
"aku ceraikan engkau dengan talak 1 / 2 / 3"

dengan ucapan di atas, perceraian tetap berlaku di antara keduanya walaupun tanpa niat daripada suami.

2. dalam bentuk tidak jelas / sindiran (kinayah): suatu lafaz yang boleh bererti talak dan boleh pula membawa erti yang lain. lafaz itu harus dilihat hubungannya dengan suasana sebelum dan sesudahnya serta tanda-tanda (qarinah) yang mempertegaskan erti yang dimaksudkan dan juga niat pihak suami. contoh:

"baliklah kamu kepada ibu bapa kamu"
"saya tak hendak kepada kamu lagi"
"mulai hari ini, berpisahlah kita berdua"

kesan lafaz-lafaz seperti di atas adalah bergantung kepada niat suami yang berlafaz itu. jika dia berniat menceraikan isterinya, terjadilah perceraian. sebaliknya jika dia tidak berniat menceraikan isterinya, lafaz tersebut tidak memberi kesan perceraian.


jenis-jenis perceraian dan kesannya.

1. perceraian dengan persetujuan/dengan perintah mahkamah: seorang suami/isteri membuat permohonan kepada mahkamah dengan mengisi borang-borang tertentu untuk bercerai, sekiranya kedua-dua pihak bersetuju untuk berbuat demikian.

boleh mengatur tentang pembahagian perbelanjaan harta, harta sepencarian, penjagaan anak-anak, nafkah dan perkara lain sebagaimana yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

2. perceraian taklik: lafaz cerai yang dikaitkan dengan suatu janji yang telah dibuat oleh suami selepas akad nikah disempurnakan.

isteri tersebut tidak boleh kembali atau rujuk kepada pernikahannya yang dahulu melainkan dengan suatu akad nikah baru.

3. perceraian fasakh: pembatalan/pembubaran perkahwinan antara suami isteri melalui perintah mahkamah.

tidak boleh kembali atau rujuk kepada suaminya melainkan didahului dengan akad nikah yang baru

4. perceraian tebus talak (khuluk): perceraian yang diminta oleh isteri daripada suaminya dengan memberi wang atau lain-lain harta benda kepada suaminya.

tidak boleh kembali atau rujuk kepada suaminya melainkan didahului dengan akad nikah yang baru

5. pembubaran perkahwinan kerana pertukaran agama: pertukaran agama oleh salah satu pasangan perkahwinan akan menjadikan perkahwinannya menjadi bubar atas pengesahan mahkamah. walau bagaimanapun kedudukan suami isteri adalah seperti berikut;
a) sekiranya salah satu pasangan murtad, perkahwinan hanya menjadi bubar setelah disahkan oleh mahkamah.
b) sekiranya isteri/suami telah memeluk Islam dan pasangannya telah turut memeluk Islam dalam tempoh eddah perkahwinan mereka mengikut hukum syara', maka status perkahwinan mereka dikekalkan iaiti mereka tidak perlu kepada akad nikah baru.


eddah perceraian

masa menanti yang diwajibkan ke atas isteri yang diceraikan oleh suaminya.
a) belum disetubuhi oleh suaminya tiada eddah.
b) telah disetubuhi dan hamil, sama ada cerai hidup/mati, tempoh eddahnya ialah sehingga melahirkan anaknya itu.
c) telah disetubuhi tetapi tidak hamil, dicerai hidup, dan mempunyai haid, tempoh eddahnya ialah selama 3 kali suci.
d) telah disetubuhi tetapi tidak hamil, dicerai hidup, tetapi tidak mempunyai haid, tempoh eddahnya ialah selama 3 bulan.


hikmah tempoh eddah

1. menentukan sama ada isteri itu hamil atau tidak, dan dengan itu;
2. dapat diketahui siapa bapa si anak yang dikandung (jika hamil)


(sumber: brochure edaran biro bantuan guaman, bahagian hal ehwal undang-undang, jabatan perdana menteri)

Tuesday, July 10, 2007

Perempuan Yang Haram Dinikahi

Perempuan Yang Haram Dinikahi

Islam telah menetapkan beberapa kategori wanita atau perempuan yang haram dinikahi oleh lelaki. Antara wanita atau perempuan yang dilarang untuk dinikahi dalam Islam adalah yang mempunyai ciri-ciri di bawah:
• Keluarga
• Menyusu
• Semenda
• Permaduan
• Kafir
• Isteri orang
• Di dalam iddah

Perempuan yang haram dinikahi sebab keluarga:
• Ibu
• Anak perempuan
• Saudara perempuan
• Adik perempuan sebelah emak
• Adik perempuan bapa
• Anak perempuan abang
• Anak perempuan adik

Perempuan yang haram dinikahi sebab susuan:
• Ibu susuan
• Anak perempuan susuan
• Anak kandung lelaki / perempuan
• Adik perempuan emak susuan
• Adik perempuan bapa
• Anak perempuan saudara susuan

Perempuan yang haram dinikahi sebab semenda (mempunyai talian kekeluargaan):
• Mertua perempuan
• Ibu tiri
• Menantu perempuan
• Anak perempuan tiri

Perempuan yang haram dinikahi sebab persemaduan:
• Saudara perempuan isteri (adik/kakak ipar)
• Saudara perempuan sebelah bapa isteri (mak saudara)
• Saudara perempuan sebelah ibu (emak isteri)

Perempuan yang haram dinikahi sebab kafir/isteri orang/isteri di dalam iddah:
• Orang lelaki Islam haram nikah dengan perempuan kafir kecuali kafir kitabiah.
• Orang perempuan Islam haram nikah dengan lelaki kafir sekalipun kitabiah.
• Haram nikah isteri orang sekalipun telah diceraikan jika belum tamat iddahnya.

(sumber: http://perkahwinan.com.my/main/Perkahwinan/?Sub=Pages&id=71)

Hukum Melihat Bakal Isteri

Hukum Melihat Bakal Isteri

Seseorang lelaki dibenarkan melihat bakal isterinya, tetapi berlandaskan ajaran Islam. Wanita yang boleh dilihat adalah seperti berikut:
1. perempuan itu bukan pinangan orang lain
2. berkemampuan untuk bernikah
3. perempuan itu bukan isteri orang
4. perempuan itu bukan dalam iddah

Wanita-wanita di atas boleh dilihat dengan cara-cara berikut:
1. melihat hanya pada muka dan dua tapak tangan
2. tidak dibenarkan memegang tubuh badan
3. jika tidak dapat melihat sendiri, boleh dihantar wakil untuk melihat
4. tidak bersunyian
5. boleh membawa kawan lelaki supaya dapat memerhatikannya.

Dan cara yang terakhir bagi melihat kesesuaian wanita tersebut ialah dengan melakukan sembahyang istiharah.

(sumber: http://perkahwinan.com.my/main/Perkahwinan/?Sub=Pages&id=70)

Senarai Semak Bagi Bakal Pengantin Kaum Melayu

Senarai Semak Bagi Bakal Pengantin Kaum Melayu

Berikut adalah senarai semak untuk proses merisik, majlis pertunangan serta hari pernikahan. Sila cetak dan tandakan perkara yang telah anda lakukan.


MERISIK:

Pihak lelaki yang ingin melamar dan merisik si gadis pilihan, mereka perlulah memastikan perkara-perkara berikut di bawa bersama. Antaranya ialah:

• Cincin belah rotan. (cincin tanda)
• Wang tanda (hantaran)
• Baju sepasang atau kain
• Buah-buahan
• Kuih-muih
• Menentukan siapakah yang akan menjadi wakil anda. (ibu bapa atau ibu bapa saudara)
• Wakil pihak lelaki tersebut perlulah bertanya kepada ibu bapa si perempuan sama ada anak gadisnya itu telah mempunyai teman atau tidak.
• Jika tidak, maka wakil pihak lelaki perlulah menyatakan hajat untuk melamar si gadis.
• Jika ibu bapa si gadis telah bersetuju, maka cincin tanda dan lain-lain barang iringan seperti wang tanda, kain, buah-buahan dan kuih-muih diberikan.
• Jika mereka menerima barang-barang yang diberikan, maka secara tidak langsung, si gadis telahpun bersetuju untuk melayari hidup bersama lelaki tersebut.
• Wakil pihak lelaki berbincang tentang wang hantaran.
• Menetapkan hari untuk melangsungkan majlis pertunangan.


PADA HARI PERTUNANGAN:
• Cincin berlian
• Sirih junjung
• Lain-lain hantaran (separuh dari wang hantaran, sepasang baju, buah-buahan, kasut, kek, dan lain-lain) bergantung kepada apa yang telah anda rancangkan.
• Wakil pihak lelaki (ibu atau ibu saudara) yang akan menyarungkan cincin kepada si gadis.


MALAM BERINAI:
• Minta bantuan dari ahli keluarga dan sanak saudara untuk menginaikan anda.
• Jika ingin mengenakan henna, pastikan anda telah menempah mereka yang pakar dalam hal sedemikian sebulan sebelum majlis malam berinai anda.

Berikut adalah senarai semak untuk majlis perkahwinan atau persandingan. Sebaik sahaja kedua-dua belah keluarga telah menetapkan hari persandingan, maka perkara-perkara di bawah boleh dijadikan landasan dalam memastikan kelancaran majlis perkahwinan anda.


LAPAN – ENAM BULAN SEBELUM perkahwinan:

Bakal pengantin lelaki dan perempuan perlulah berbincang terlebih dahulu tentang beberapa perkara seperti berikut:

Bagi pengantin lelaki dan perempuan:
• Berbincang hal-hal perkahwinan (adat perkahwinan) dengan ibu bapa dari kedua-dua belah pihak bakal pengantin.
• Menentukan perbelanjaan yang akan dikeluarkan oleh kedua-dua belah pihak pengantin untuk majlis perkahwinan tersebut.
• Menentukan konsep majlis perkahwinan (hantaran, pelamin, bilik tidur dan lain-lain hiasan) yang anda ingini.(Majlis di hotel atau taman.)
• Rujuk direktori perkhidmatan perkahwinan (jurusolek, koleksi pakaian pengantin, bunga, kad jemputan perkahwinan dan lain-lain) di majalah, internet, buku atau melalui rakan-rakan yang telah berkahwin bagi mendapatkan gambaran awal.
• Mengenalpasti baju pengantin serta tetapkan bilangan pakaian persalinan yang diingini. (bagi yang bertudung, pastikan anda memilih pakaian yang disediakan sekali dengan pakaiannya)
• Tempah jurusolek/juruandam untuk majlis perkahwinan anda
• Mencari rumah baru, sama ada sewa atau membelinya.
• Kenalpasti Jabatan Agama Islam, Pejabat Agama Islam Daerah atau badan-badan Islam (swasta) yang berdekatan dengan kawasan anda, untuk mendaftar kursus pra perkahwinan.

Bagi pengantin lelaki:
• Semak semula jumlah sebenar wang hantaran yang dikenakan, (jika berlaku perubahan pada wang hantaran yang telah ditetapkan pada hari pertunangan anda) dan lain-lain hantaran.


LIMA BULAN SEBELUM perkahwinan:

Bagi pengantin lelaki dan perempuan:
• Menghadiri kursus pra perkahwinan di tempat dan pada tarikh yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam, Pejabat Agama Islam Daerah atau badan-badan Islam swasta.
• Menempah tok kadi untuk majlis pernikahan anda.
• Menempah videografi atau jurufoto untuk merakamkan detik-detik indah majlis perkahwinan anda.
• Membeli cincin kahwin.
• Tentukan sama ada anda ingin memasak sendiri atau menggunakan khidmat katerer. Jika ingin menggunakan khidmat katerer bincangkankan menu hidangan untuk majlis anda, serta harga yang ditawarkan.
• Menyediakan senarai tetamu yang akan dijemput
• Menempah sekumpulan pemuzik dan DJ (jika perlu)
• Lakukan rawatan muka, badan dan rambut.
• Jika ingin berbulan madu (dalam negara atau luar negara), tentukan tempat dan budjet untuknya. Segerakan bayaran pendahuluan bagi mengelakkan tempat ditempah orang lain.


TIGA BULAN SEBELUM perkahwinan:

Bagi pengantin lelaki dan perempuan:
• Memilih dan mencetak kad jemputan kahwin.
• Mengesahkan tempahan di hotel atau taman termasuk jumlah meja dan kerusi, menu dan sebagainya.
• Melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik atau hospital.
• Rawatan intensif muka, badan dan rambut.

Bagi pengantin lelaki:
• Memaklumkan kepada saudara-mara tentang hari berlangsungnya majlis pernikahan anda.
• Mengenalpasti beberapa orang (saudara mara atau jiran-jiran) yang akan menyertai rombongan pihak lelaki.

Bagi pengantin perempuan:
• Kenalpasti dua orang saksi untuk majlis pernikahan anda.
• Bagi wanita yang kematian bapa, sila pastikan siapa wali nikah anda. Jika anda tidak mempunyai wali nikah, sila dapatkan wali hakim, dari mana-mana Jabatan Agama Islam untuk menikahkan anda.


DUA BULAN SEBELUM perkahwinan:

Bagi pengantin lelaki dan perempuan:
• Membeli barang kemas
• Tentukan pengapit anda, jika perlu carikan baju yang bersesuaian untuk pengapit anda.
• Menghantar kad jemputan kepada para tetamu yang ingin dijemput.
• Merujuk kepada Jabatan Agama Islam dan Pejabat Islam Daerah untuk proses mendaftar pernikahan anda.


TIGA MINGGU SEBELUM perkahwinan:

Bagi pengantin lelaki dan perempuan:
• Pastikan pakaian pengantin anda telah siap dan ambil pakaian tersebut jika anda telah berpuashati.
• Pastikan ada seseorang yang akan menjaga barang-barang anda semasa majlis perkahwinan berlangsung.

Bagi pengantin perempuan:
• Pilih gaya rambut yang anda ingini semasa majlis perkahwinan anda (bagi yang bertudung, pastikan gaya tudung yang akan dikenakan pada majlis perkahwinan anda nanti).


TIGA – SATU HARI SEBELUM perkahwinan:

Bagi pengantin lelaki dan perempuan:
• Menghias pelamin, bilik tidur pengantin, membuat sirih junjung dan lain-lain hantaran.
• Sediakan seterika, papan seterika, cermin, jarum dan benang, bagi memudahkan anda jika berlaku kecemasan.
• Jika perlu ingatkan tetamu anda tentang majlis perkahwinan anda melalui telefon.
• Hubungi jurufoto, juruvideo dan lain-lain (kompang, silat dan sebagainya) anda dan minta mereka datang awal pada majlis tersebut.
• Sediakan (packing) barang-barang yang perlu dibawa ke majlis tersebut. Elakkan melakukannya di saat-saat akhir kerana dikhuatiri ada barang yang tertinggal.
• Mandi air panas bersama aromaterapi untuk kesegaran badan.
• Tidur awal dan bersedia untuk menghadapi hari bahagia anda.

Bagi pengantin lelaki:
• Tentukan siapa yang akan menjadi jurucakap bagi rombongan pihak lelaki dan tuan ruamh pada majlis pernikahan.

Bagi pengantin perempuan:
• Hubungi hair dresser anda dan minta mereka datang awal pada majlis tersebut.
• Kenalpasti siapakah yang akan ditugaskan untuk menyambut tetamu pada hari perkahwinan anda. (begitu juga bagi majlis di pihak lelaki)


PADA HARI PERNIKAHAN:

Bagi pengantin lelaki dan perempuan:
• Pastikan anda membawa kad pengenalan, gambar, dan apa-apa dokuman yang diperlukan semasa majlis ijab dan kabul.

Bagi pengantin lelaki
• Pastikan anda telah menyediakan wang mas kahwin pada hari pernikahan anda.
• Pastikan wang hantaran (terutamanya wang tunai) diamanahkan kepada orang yang boleh dipercayai.
• Pastikan anda telah menyediakan wang (upah) untuk diberikan kepada tok kadi.
• Cincin / gelang tangan / rantai.
• Sirih junjung dan lain-lain hantaran.
• Pihak lelaki dan pengiring mestilah datang lebih awal sekurang-kurangnya setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan.
• Pastikan mereka yang menjadi saksi dan wali turut ada pada majlis pernikahan tersebut.
• Pastikan tok kadi yang akan menikahkan anda, telah diberitahu lebih awal tentang hari pernikahan anda.
• Pada malam majlis pernikahan, majlis persalinan baju (jika perlu) diadakan. Pakaian yang biasa dipakai ialah baju yang menjadi kebanggan sesebuah negeri seperti baju Sari, Cheongsam, Minangkabau, Jawa, Mendaling dan lain-lain.


PADA HARI PERKAHWINAN:

Bagi pengantin lelaki dan perempuan:
• Ambil sarapan seawal tujuh pagi, bagi mengelakkan anda lapar, mengantuk dan tidak bermaya.
• Jangan takut untuk menghadapi hari bahagia anda. Bertenang dan sentiasa senyum.
• Pastikan majlis anda berjalan lancar seperti yang telah dirancangkan.

Bagi pengantin lelaki:
• Pastikan anda datang tepat pada masanya atau sekurang-kurangnya sepuluh minit awal dari waktu yang telah ditetapkan
• Pastikan kesemua hantaran telah dibawa termasuk sirih junjung

Bagi pengantin perempuan:
• Pastikan anda telah bersiap satu setengah jam lebih awal sebelum pengantin lelaki sampai ke rumah anda.


TIGA HARI SELEPAS perkahwinan:
• Melawat keluarga dan sanak saudara kedua-dua pihak.

(sumber: http://perkahwinan.com.my/main/Perkahwinan/?Sub=Pages&id=76)

perkahwinan adalah suatu ibadat

perkahwinan adalah suatu ibadat

Dari sudut Islam, perkahwinan adalah satu ibadah. Kerana ia ibadah yang disyariatkan oleh Islam, maka ia harus dilaksanakan dengan sempurna dan mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.


Pelaksanaan secara sempurna adalah satu tuntutan agama. Oleh itu ulamak telah menulis dan menjelaskan dengan panjang lebar dalam hal ini dalam kaya-karya mereka yang terdapat dalam pasaran.

Perkahwinan adalah merupakan satu ibadah suci yang termaktub dalam al-Quran dan hadith-hadith Nabi. Dalam perkahwinan itu sendiri mengandungi banyak hikmah dan keistimewaan. Maka sesiapa yang mampu melaksanakannya dengan sempurna, maka ia dan pasangannya akan mendapat ganjaran.


Dalam surah ar-Rum ayat 21, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah ialah Dia telah menciptakan untuk mu isteri-isteri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya; dan dijadikannya antara kamu rasa kasih sayang."

Maka jelas sekali bahawa tujuan perkahwinan itu bukan untuk seronok-seronok atau sekadar melepaskan rangsangan hawa nafsu, tetapi ialah untuk melahirkan pertalian kasih sayang bagi kedua pasangan. Kasih sayang di sini ialah kasih sayang yang sejati dan abadi, dari usia muda sampai ke usia tuanya.

Dari sudut syara', hukum berkahwin itu terbagi kepada empat kategori: wajib, sunat, haram dan mubah. Setiap kategori ada sebab-sebab dan asas-asasnya tersendiri. Ia jadi wajib, kalau sesaorang itu sudah mampu (fizikal, material dan spiritual), dan takut terjerumus kelembah perzinaan kalau ia tidak berkahwin. Ia jadi sunat, kalau sesaorang itu mampu dan dalam waktu yang sama ia mempu menahan diri dari melakukan perzinaan, maka ketika itu baginya adalah lebih baik berkahwin dari membujang. Ia menjadi haram, kalau tujuan berkahwin itu semata-mata untuk balas dendam atau untuk menyakiti orang lain. dan ia menjadi mubah, kalau sesaorang itu tidak berhalangan untuk berkahwin sedangkan hawa nasfunya tidak kritikal untuk melakukan sesuatu yang dilarang oleh agama.

Kalau kedua-dua pasangan suami-isteri itu dapat memahami konsep ibadah dalam perkahwinan, maka sudah tentu masalah rumahtangga tidak timbul. Kerana setiap pasangan itu sentiasa berusaha memenuhi kehendak-kehendak dan tuntutan-tuntutan ibadah. Di antara tuntutan ibadah dalam perkahwinan ialah kesetiaan, iltizam, tanggungjawab, kasih sayang, hormat menghormati, bela membela, amanah, jujur, ikhlas dan sebagainya.


Dalam sebuah hadith, Baginda Rasulallah pernah bersabda yang bermaksud:

"Bahawa dua rekaat solat orang yang beristeri adalah lebih baik daripada tujuh puluh rekaat solat orang bujang".

Dengan kata lain, beristeri itu mendapat ganjaran dan pahala yang berlipat ganda berbanding dengan ibadah seorang bujang. Hikmahnya jelas sekali, ketika melakukan ibadah seorang yang sudah beristeri adalah lebih mantap dan tenang serta lebih khusuk. Atas asas inilah maka ibadah orang beristeri itu lebih baik dan lebih rewarding.

Dunia perkahwinan adalah dunia tanggungjawab dan iltizam yang berterusan, dari sebelum mendapat anak kepada sampai mendapat cucu-cicit. Di mana setiap pasangan diwajibkan menunaikan tugas masing-masing sehingga melahirkan rumahtangga yang aman damai dan bahagia.


Dalam sebuah hadith lain Baginda Rasulallah bersabda yang bermaksud:

"Apabila seorang perempuan menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, memelihara kehormatan, serta menutup aurat dan taat kepada suami, maka berhaklah ia masuk ke syurga dari mana-mana pintu syurga yang disukainya."


Dalam surah An-Nur ayat 26, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Sesungguhnya lelaki-lelaki yang baik adalah untuk perempuan baik; perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik. Sebaliknya, lelaki yang jahat adalah untuk perempuan-perempuan yang jahat: perempuan-perempuan yang jahat untuk lelaki-lelaki yang jahat pula."

Ringkasnya, kalau satu-satu pasangan itu berjaya memahami dan mengamalkan konsep ibadah dalam perkahwinan, maka kebahagiaan dan ketenteraman hidup itu boleh dicapai. Kerana konsep ibadah itu ialah konsep hidup bersih. Bersih lahir dan bersih batin. Tidak ada ibadah yang berasaskan kekotoran hati atau hasad. Inilah keindahan Islam bagi kehidupan manusia berumahtangga, berkeluarga, dan bermasyarakat.

Dari: DR. SOBRI SALAMON, Dec. 28, 2002.

(sumber: http://perkahwinan.com.my/main/Perkahwinan/?Sub=Article&id=4)

Wanita Yang Menolak Perkahwinan

Wanita Yang Menolak Perkahwinan

Sepertimana yang diberitakan kepada kita oleh akhbar Berita Harian, hari ini terdapat segolongan wanita yang menolak perkahwinan. Antara sebabnya ialah kerana memandang perkahwinan sebagai satu bebanan yang menyekat kebebasan. Bila berkahwin, kuasa mutlak dalam menentukan hidup mula berubah dan terpikul pula dengan kerja-kerja mengurus rumahtangga dan anak-anak.

Justeru itu ramai yang lebih rela menjadi andartu walaupun pada hakikatnya, ianya tidak dapat memberi kebahagiaan pada jiwa. Ada juga yang tidak berkahwin disebabkan terlalu memilih calon yang sekufu dan ada yang tidak sempat memikirkan perkahwinan kerana terlalu sibuk dengan tugas-tugas dan kerjaya masing-masing.

Kami akan menceritakan tentang kerugian yang dialami oleh wanita yang tidak mahu bekahwin; tetapi bukan kepada wanita yang tidak berkahwin kerana tiada jodoh. Kalau sudah tidak ada jodoh, wanita tersebut tidak boleh dipersalahkan kerana sudah takdir menentukan demikian. Masalahnya sekarang, terdapat wanita yang mempunyai peluang untuk berkahwin tetapi menolak dengan alasan-alasan sepertimana yang disebutkan di atas tadi.

Perkembangan tentang wanita yang tidak gemar berkahwin bukan sahaja berlaku di dalam masyarakat bukan Islam tetapi juga berlaku di kalangan masyarakat Islam. Sikap demikian bukan sahaja bertentangan dengan kehendak ajaran Islam yang menggalakkan perkahwinan tetapi juga bertentangan dengan fitrah semulajadi manusia yang hidupnya memerlukan pasangan. Bahkan sunnatullah kejadian manusia, ada lelaki dan ada wanita yang saling memerlukan antara satu sama lain. Ibarat talian elektrik yang memerlukan positif dan negatif untuk melahirkan cahaya.

Di Malaysia, walaupun terdapat di dalam masyarakat Islam sikap memilih hidup membujang tetapi tidak begitu berleluasa sepertimana di barat. Walaupun demikian, pada pandangan Islam, orang yang tidak berkahwin dianggap jelek. Menyerupai para pendita Kristian. Golongan ini juga tidak akan mendapat kesempurnaan dalam agama dan mengalami kerugian di dunia dan di akhirat. Kejelekan tidak berkahwin khususnya bagi kaum wanita, adalah lebih banyak berbanding dengan lelaki. Kerana umumnya bagi kaum wanita, pintu syurga lebih banyak bermula dan berada di sekitar rumahtangga, suami dan anak-anak.

Amat mudah bagi kaum wanita untuk mendapat maqam solehah dan menjadi ahli syurga di akhirat.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah: "Sekiranya seorang wanita dapat melakukan empat perkara iaitu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga maruah dan taat kepada suami maka masuklah syurga mana-mana yang ia kehendaki."

Sekiranya seorang wanita itu tidak berkahwin, ia tidak akan dapat mencapai kesempurnaan pada maqam yang keempat. Walau sehebat mana sekalipun ia bersembahyang, berpuasa dan menjaga maruah, wanita yang tidak berkahwin tidak akan mendapat kelebihan pada mentaati suami. Sedangkan kelebihan mentaati suami mengatasi segala-galanya bagi seorang wanita, sehinggakan redha Allah pun bergantung kepada redha suami.

Selain daripada itu di antara kelebihan wanita yang berkahwin bahawa ia akan diberi pahala seperti pahala jihad fisabilillah (berjuang di jalan Allah) di kala mengandung. Apabila ia menyusukan anak maka setiap titik air susu akan diberi satu kebajikan. Berjaga malam kerana mengurus anak akan diberi pahala seperti membebaskan 70 orang hamba. Wanita yang berpeluh kerana terkena bahang api ketika memasak untuk keluarganya akan dibebaskan daripada neraka. Bagi wanita yang mencuci pakaian suaminya akan diberi 1000 pahala dan diampuni 2000 dosa. Lebih istimewa lagi ialah bagi wanita yang tinggal di rumah kerana mengurus hal-hal berkaitan anak-anak akan dapat tinggal bersama-sama Rasulullah saw di syurga kelak. Bahkan wanita yang rela dijimak oleh suami juga akan mendapat pahala dan lebih hebat lagi bagi wanita yang mati kerana bersalin akan mendapat pahala seperti pahala syahid.

Semua kelebihan-kelebihan ini tidak akan dapat diperolehi bagi wanita yang menolak perkahwinan. Malahan kedudukan mereka di dunia akan selalu berada di dalam fitnah dan di akhirat menjadi golongan yang rugi. Oleh itu wanita dianjurkan berkahwin apabila telah menemui pasangan yang sekufu. Yang dimaksudkan sekufu yang utama ialah dari segi iman, walaupun lelaki tersebut telah berkahwin.

Sabda Rasulullah saw: "Apabila datang kepada kamu lelaki yang beragama dan berakhlak maka kahwinlah dia, kalau tidak akan timbul fitnah dan kebinasaan.

Para sahabat bertanya, "Bagaimana kalau ia telah berkahwin?" Jawab baginda, "Kahwinilah juga ia (diulang sebanyak tiga kali)." Begitulah besarnya pahala bagi wanita yang berkahwin. Tidak perlu bersusah-payah untuk keluar rumah seperti kaum lelaki atau berslogan seperti kebanyakan wanita hari ini. Hanya dengan duduk di rumah sebagai seorang isteri dan ibu sudah memperolehi pahala yang banyak. Kalau suami redha dengan perlakuan seorang isteri itu maka akan terus masuk syurga tanpa melalui kesukaran. Nikmat ini tidak akan dapat diperolehi oleh wanita yang menolak perkahwinan kerana dia telah menolak untuk menjadi calon wanita solehah yang berada di bawah naungan suami.

Dipetik dari : http://www.darulnuman.com
(sumber: http://perkahwinan.com.my/main/Perkahwinan/?Sub=Article&id=51)

Menuju Alam Perkahwinan

Menuju Alam Perkahwinan

Masalah memilih bakal pasangan hidup, perlu diberi perhatian diawal perkenalan dengan pasangan masing masing. Islam sangat bersifat selektif. Sebab itu disyarakkan diadakan fitrah pertunangan supaya terdapat jangka masa yang cukup untuk mengenali pasangan. Mengenali pasangan bukanlah pada dasarnya keluar berjalan -jalan dating dan berborak tanpa batasan. Konsep lima `K' diperkenalkan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu "Kenal", "Kelas", "Kufu", "Kasih" dan akhir sekali "Kahwin".

KENAL

Kita disuruh kenal/ta'ruf pasangan terlebih dahulu bukanlah dalam istilah luaran @ fizikal semata-mata. Erti kenal termasuk hati budi dan pegangan hidupnya. Untuk kenal orangnya, hati budinya, pergilah disuruh dan dicari orang yang boleh dipercayai agamanya merisik corak hidupnya dan perangainya. Terdapat kisah seorang sahabat Nabi, Omar r.a. di mana beliau bertanya kepada seorang lelaki apabila melantik seorang saksi.

"Apakah kamu kenal lelaki ini?" tanya Omar
"Ya, saya kenal," jawab lelaki tersebut. Omar bertanya lagi...
"Pernahkah kamu berjalan dengan saksi ini dalam musafir?"

Lelaki itu menjawab tidak pernah, Omar bertanya lagi "Pernahkah kamu bermu'amalah supaya kamu tahu setakat mana waraknya dia? Pernahkah kamu menjadi jirannya supaya kamu tahu kemana perginya dan setakat mana pergaulan, siapa keluarga dan kawan-kawannya" Itulah yang di namakan takruf sebenarnya dalam Islam supaya kita dapat tahu apakah pasangan itu sesuai dengan kita atau sebaliknya. Risik merisik latarbelakang pasangan perlu dibuat untuk mengetahui sejauh manakah pergaulan dan kewarakannya.. Pada dasarnya, kita boleh kenal melalui dari corak kelakuan sahabat-sahabat yang akrab dengannya....
Adalah berdosa besar jika antara kedua-dua belah pihak BERBOHONG. Apabila sudah saling mengenali, TOLAK-ANSUR dapat dibuat dalam apa juga perkara.

KELAS

Kita kenal tetapi kita kena bersifat pemilih supaya terjamin akhlak dan agamanya. Kelas yang dimaksudkan bukan hanya merujuk kepada golongan yang berkelulusan agama, berjanggut dan berserban sahaja. Kelas yang baik adalah golongan yang mengamalkan ajaran agama kerana golongan ini akan menghormati pertalian perkahwinan. Mereka yang ada kefahaman dan penghayatan Islam akan memegang perkara asas dalam Islam, sentiasa 'alert', sanggup MENERIMA TEGURAN dan MEMBERI TEGURAN dan saling bersifat 'MEMBINA' untuk menjaga akhlak dalam Islam.

KUFU

Kufu amat diberatkan, dari segi pendirian, pemahaman agama dan keturunan juga perlu diseimbang. Jika terdapat keturunan golongan atasan, wajar dia mencari keturunan yang sama supaya tidak wujud jurang yang dalam. Begitu juga daripada segi harta , ulama yang bernama Mawardi menjelaskan ia perlu di titikberatkan kerana seseorang yang datang dari keluarga miskin, susah untuk seiring dengan keturunan kaya. Bahkan ulama yang ke belakang ini juga mementingkan tahap umur. Memang betul, soal jarak umur diantara Rasulullah 25 dan Siti Khadijah 40 tidak wujud kerana Rasulullah , Siti Khadijah dan Aisyah mempunyai akhlak yang sempurna. Dan tidak seperti kita yang serba cetek. Malah rupa dan fizikal wanita yang cepat rosak boleh diselaraskan kesesuaian dengan suaminya bila sudah lama berumahtangga.

KASIH

Kasih bukan bermakna berkasih atau bercinta tetapi yang sebenarnya yang ditekankan ialah di antara kedua-dua belah pihak lelaki dan wanita itu perlu wujud unsur-unsur kasih sebelum berkahwin. Merujuk kepada sebuah hadis:-

"Tidak ada yang lebih baik bagi kedua pasangan yang berkasih ini melainkan mengakhirinya dengan
perkahwinan"
Andaikata lelaki itu berkenan kepada seorang wanita, perlulah lihat wanita itu tersebut tetapi mengikut syariat
Islam.

Rasulullah memberitahu:-

"Pergi lihat dahulu wanita itu, kalau kalau dengan melihat itu boleh menjamin kasih sayang di antara kamu"

Kalau kawan tolong canang kata begitu dan begini amat susah juga.. Sememangnya terdapat " Orang orang yang benar-benar redha dengan pasangan yang di tentukan oleh Allah tetapi pokok pangkal banyak terletak pada HATI kaum lelaki" Kalau tak berkenan, jangan di paksa paksa hati sebab ia bukan satu permainan pondok pondok. Kasih yang dipupuk biarlah kerana Allah kerana ia menjamin kebahagian rumahtangga. Hadis Nabi ada menyatakan:-

"Barangsiapa yang berkawin dengan wanita kerana KEDUDUKAN ia hanya mendapat kehancuran sebagai balasan, Barangsiapa yang berkawin dengan wanita kerana KEKAYAAN, Allah menjanjikan kemiskinan. Barangsiapa yang menikahi kerana KETURUNAN, Allah akan menghina keturunannya dan Barang siapa yang berkawin dengan NIAT BAIK dan kerana ALLAH demi menutup pandangan dan kemaluannya atau menyambung silahturrahim, Allah akan memberkati kedua duanya."

Keberkatan memang dititik beratkan. Apabila nawaitu/niat kita dipasakkan dengan betul. InsyaAllah perkahwinan akan diberkati dan dilindungi. Setiap gerak geri dan tindak tanduk mendapat pengawasan dan hidayah daripada Allah dan tidak timbul perselisihan faham.

REDHA

Redha terhadap pasangan masing masing adalah penting. Rasulullah sering bertanya,
Apakah kamu redha dengan pasangan ini? Kita berkahwin dengan manusia yang mempunyai unsur unsur
kebaikan dan keburukan. Tidak ada manusia yang sempurna dan apabila kita REDHA dengan pasangan
bermakna kita redha dengan KEKURANGAN mereka.

"Apa yang dikatakan baik bukan sekadar mengikut telunjuk isteri @ suami. Baik yang di maksudkan sanggup mengaku kekurangan diri dan mencari jalan mengatasinya" Istilah kufu banyak di tekankan dalam Surah AnNur :ayat 26:-

"Seorang lelaki yang tidak baik itu sesuai dengan wanita yang tidak baik dan seorang lelaki yang baik itu adalah untuk wanita yang baik"

Istilah kufu sangat di tekankan kerana jika isteri dianggap kelas kedua, segala teguran daripada pasangan tidak boleh diterima. Jika isteri mempunyai jawatan dan pangkat besar serta tidak ada kufu, dia tidak dapat menerima kepimpinan daripada suami. Tetapi kalau ada persamaan pendirian, sikap tolak ansur dapat diwujudkan. Sebaliknya perbezaan pendapat boleh menyebabkan hubungan semakin renggang. Misalnya seorang suami yang rapuh pegangan agama tidak mahu memantapkannya selepas berkahwin, Sikap kurang mahu ini akan menjadi tolak bengit sekiranya pula si isteri sememangnya seorang yang suka menghayati Islam dan cuba memantapkannya dari masa ke semasa ....Begitu juga sebaliknya masalah berlaku Kata sebahagian lelaki, dah dapat perempuan yang berkenan di hati nanti "AKU UBAHLAH PERANGAINYA". Tetapi anda perlu ingat, bukan semua perempuan mempunyai hati yang lembut dan mudah di bentuk. Keimanan dan kekuatan sikap merealisasikan Islam perlu ada pada lelaki. Perempuan yang beriman mesti mencari lelaki yang lebih kuat imannya daripadanya kerana lelakilah yang menjadi ketua keluarga....

(sumber: http://perkahwinan.com.my/main/Perkahwinan/?Sub=Article&id=53)

Kewajipan Menghadiri Jemputan

Kewajipan Menghadiri Jemputan

Perkahwinan merupakan suatu peristiwa yang amat besar dalam hidup seseorang, kerana itu ia ditandakan dengan upacara sambutan dan jamuan agar saat-saat yang gembira itu disyarikati sama oleh jiran sekampung, sahabat-sahabat dan anak-anak buah. Dan supaya majlis itu benar-benar diselubungi gembira, maka setiap orang yang menerima jamuan itu diwajibkan menghadirinya kecuali ia keuzuran.

Menurut al-Mahlab erti dari jemputan itu amat besar, kerana ia digerakkan oleh perasaan kasih mesra dan bergembira dari penjemputnya supaya orang-orang yang dijemputnya itu sudi merasakan jamuannya atau sudi bermesra makan bersama-sama dengannya dan perasaan yang sedemikian mulia memang wajar disambut baik. Menurut al-Imam an-Nawawi, para Ulama sepakat bahawa hukum menghadiri jemputan kahwin itu adalah wajib. Hukum ini telah dikuatkan pula oleh satu Hadith yang lain yang berbunyi:

"Barang siapa tidak menghadiri jemputan itu, maka sesungguhnya ia telah menderhakai ALLAH dan Rasul-Nya s.a.w."

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari dari Abi Hurairah dan hadis ini begitu jelas menjadi dalil wajib kerana perkataan 'derhakakan ALLAH dan Rasul itu' tidak digunakan melainkan dalam kesalahan meninggalkan sesuatu yang wajib.

Bagaimana dengan jemputan-jemputan yang lain?
Menurut al-Imam as-Syafi'I dan sahabat-sahabatnya, istilah jamuan "al-walimah" itu meliputi setiap jemputan yang diadakan kerana sesuatu peristiwa yang gembira seperti perkahwinan dan istiadat berkhatan dan sebagainya, tetapi penggunaan yang masyur apabila disebut walimah sahaja maka maksudnya ialah jamuan kahwin.

Dari segi hukum, pendapat-pendapat 'ulama' berselisih, kebanyakkan ulama yang menyatakan bahawa hukum menghadiri jamuan-jamuan yang lain dari jemputan perkahwinan itu adalah sunatsahaja, sementara sebahagian dari ulama Syafi'I berpendapat hukum menghadiri semua jemputan itu wajib baik jemputan kahwin mahupun jemputan bukan kerana perkahwinan, ini adalah sesuai dengan pendapat Ibn Hazm yang menyatakan bahawa pendapat ini adalah pendapat sahabat-sahabat dan para tabi'in, kerana di sana terdapat hadis-hadis yang dapat difaham sebagai menyarankan-menyaranakan hukum-hukum wajib menghadiri jemputan-jemputan yang lain dari perkahwinan, di antaranya ialah:

Sabda Rasulullah s.a.w. "Barang siapa yang dijemput kepada jamuan perkahwinan atau sebagainya maka hendaklah ia menyahutinya." Hadis ini dikeluarkan oleh Muslim dari az-Zabidi dari Nafi'.

Sabda Rasulullah s.a.w. "Apabila seseorang darimu menjemput saudaranya maka hendaklah ia sahuti jemputan itu sama ada kerana jamuan perkahwinan atau sebagainya." Hadis ini dikeluarkan oleh Muslim dan Abu Daud dari Ayub dari Nafi'.

Bagaimana jika yang dijemput berpuasa sunat?

Kebanyakkan ulama Syafi'I dan setengah-setengah ulama Hanbali berpendapat bahawa berbuka puasa adalah lebih afdhal bagi orang yang berpuasa sunat yang dijemput ke majlis jamuan jika penjemputnya itu sangat mengharap dan merasa terkilan jika ia tidak dapat makan bersama. Menurut amalan sahabat besar Abdullah bin Umar apabila ia dijemput ke majlis jamuan sama ada jamuan perkahwinan atau bukan perkahwinan ia tidak menghadirinya dan jika kebetulan di waktu itu ia tidak berpuasa sunat ia ikut makan bersama mereka dan sebaliknya jika ia kebetulan berpuasa ia datang mendoakan keberkatan kemudian pulang.

Tetapi hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah seseorang itu diberi kebebasan sama ada hendak meneruskan puasanya atau berbuka.

Sabda Rasulullah s.a.w. "Barang siapa yang dijemput menghadiri jamuan makan sedangkan ia berpuasa maka hendaklah ia menyahuti jemputan itu dan jika ia mahu ia boleh makan dan jika ia tidak mahu ia boleh tinggal."

Seluruh hadis-hadis yang telah dibentangkan itu menunjukkan betapa besarnya perhatian Islam terhadap tatacara pergaulan yang boleh mengeratkan persaudaraan dan mengukuhkan perpaduan umat hingga hadis-hadis itu begitu tegas menekankan peri mustahaknya jemputan-jemputan majlis jamuan itu dihadiri agar tidak menghampakan tuan rumah yang telah begitu banyak berbelanja dan bersusah payah mengadakan jamuan itu.

Walau bagaimana pun hukum wajib menghadiri jemputan walimah itu akan berubah menjadi tidak wajib apabila majlis itu mengadakan upacara-upacara yang bertentangan dengan agama seperti menghidangkan minuman-minuman keras atau makanan yang tidak halal di sisi syara' atau mengadakan majlis tari-menari yang merupakan majlis jamuan elit untuk orang-orang kenamaan sahaja dan tidak diikuti sama oleh orang-orang yang tidak berada.

(sumber: http://perkahwinan.com.my/main/Perkahwinan/?Sub=Article&id=59)